Siapakah wanita yang menjadi ahli Syurga? Apakah ciri-ciri atau sifat-sifat
yang menjadi kunci bagi wanita memasuki syurga?
Sebuah hadis Nabi menyatakan:
Daripada Anas, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:
"Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa
sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh
memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai."
(Hadis Riwayat Ahmad)
Menurut hadis di atas sekurang-kurangnya ia telah menggariskan empat dasar
atau sifat utama yang menjadi teras bagi seorang wanita muslimah memasuki
syurga, iaitu menunaikan kewajipannya kepada Allah dalam makna melaksanakan
ibadah-ibadah yang diwajibkan ke atasnya seperti sembahyang, puasa, dan
lain-lain ibadah wajib yang mampu dilaksanakan.
Sebuah hadis menyebutkan bahawa sembahyang adalah perkara pertama yang akan
disoal di hari Kiamat.
Daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu, Nabi Sallallahu Alahi Wasallam
bersabda:
"Sesungguhnya perkara yang pertama sekali dikira dari amalan hamba di
hari kiamat ialah sembahyang; sekiranya sembahyang itu sempurna, maka beruntung
dan berjayalah dia, dan sekiranya ia rosak, maka kecewa dan rugilah dia, kalau
kewajipan fardhu masih kurang, Allah berfirman: Lihatlah adakah amalan-amalan
sunat untuk menyempurnakan kekurangan tersebut. Demikianlah seterusnya dengan
amalan yang lain"
(Hadis riwayat at-Tirmizi)
Disamping menunaikan kewajipan kepada Allah, menunaikan hak dan kewajipan
kepada suami juga merupakan hal yang tidak boleh diabaikan oleh seorang wanita.
Tertunainya hak dan tanggungjawab suami barulah akan turun keredhaan dan
rahmat Allah kepadanya. Menjaga kehormatan diri juga merupakan hal yang
digariskan oleh hadis di atas. Antara hal-hal yang boleh diketegorikan dalam
konteks menjaga kehormatan itu ialah mempunyai sifat pemalu, jika suaminya
keluar dia akan menguruskan dan menjaga dirinya dan harta suaminya dengan
amanah. Bila suaminya datang kepadanya dia akan menjaga mulut daripada menyebutkan
perkataan yang tidak elok didengar.
Sebuah hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menyatakan bahawa:
"Sesungguhnya sopan santun dan keimanan adalah saling berkaitan, jika
salah satunya dikeluarkan, yang satu lagi juga akan hilang serentak."
(Hadis Riwayat Baihaqi)
Maksud hadis ini ialah jika kesopanan atau sifat malu sudah hilang, iman
juga akan hilang bersama-samanya. Betapa besarnya pengaruh antara kesopanan dan
keimanan kepada diri seorang wanita itu, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam
menegaskan dengan sabda baginda:
"Apabila sesesorang itu terlibat dengan penzinaan, ia bukan lagi
seorang beriman, apabila seseorang itu mencuri ia bukan lagi seorang beriman,
apabila seseorang itu meminum arak ia bukan lagi seorang beriman, apabila
seseorang itu menyelewing setelah diberi amanah oleh orang lain ia bukan lagi
seorang beriman, dan apabila seseorang diantara kamu menipu ia bukan lagi
seorang beriman, oleh itu berjaga-jagalah! "
Taat kepada suami merupakan satu lagi sifat wanita yang digambarkan oleh hadis
yang dipaparkan di awal makalah ini. Taat kepada suami adalah tanggungjawab
isteri yang wajib di sempurnakan. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam
Bazzar Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
"Kamu sampaikan kepada perempuan yang kamu jumpa, bahawa taat kepada
suami, dan mengakui hak-hak suami, sama pahalanya dengan
berperang dan bertempur dengan musuh-musuh Islam di medan pertempuran,
tetapi sedikit sangat daripada isteri-isteri yang menyempurnakan
hak-hak suami mereka."
(Hadis riwayat Al Imam Bazzar)
Isteri adalah pusat dan sumber kebahagiaan dan ketenteraman di dalam sebuah
rumahtangga. Ia perlu mempunyai sifat-sifat sabar dan perhatian yang sepenuhnya
kepada suami dan juga anak-anak.
Sikap inilah yang boleh mewujudkan suasana yang tenang, aman dan damai
dalam rumahtangga. Dalam hal ini, para isteri sayugialah akan sentiasa bersikap
baik kepada suami. Saidina Abu Bakar Radhiallahu Anhu meriwayatkan bahawa
Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda:
"Seorang wanita yang menyakiti hati suami dengan lidahnya, dia
mendatangkan celaan dan kemurkaan Allah, para malaikat dan umat manusia."
Selain itu, Saidina Ali Radhiallahu Anhu meriwayatkan sebuah hadis mengenai
setiap isteri yang tidak menghormati status suaminya.
"Wanita yang berkata kepada suaminya yang tidak melihat apa-apa
kebaikan pada suaminya, Allah menghapuskan segala perbuatan baiknya selama 70
tahun,
walaupun dia berpuasa selama itu siang hari dan bersembahyang pada
malamnya."
(Hadis Riwayat Imam Majah dan An-Nasai)
Berdasarkan huraian ringkas di atas, para wanita semestinyalah mengamalkan
sikap taat dan bertakwa kepada Allah, bertanggungjawab kepada suami dan menjaga
kehormatan dirinya. Semoga dengan itu, akan mudahlah mereka mendapat rahmat dan
keredhaan Allah. Rahmat dan redha Allah itulah yang akan menjamin kebahagian
hidupnya di dunia dan di akhirat.
0 comments:
Post a Comment